KUALA LUMPUR – Pertandingan Kepintaran yang Memberi Inspirasi anjuran Proton Holdings Bhd. menerima penyertaan sebanyak 51 kumpulan daripada 20 institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, pihaknya mencari mahasiswa yang mempunyai ciri kepemimpinan berkualiti bagi mengetuai kempen pemasaran yang bermakna berteraskan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) pintar pertama di Malaysia iaitu Proton X70.
Katanya, bagi mempamerkan bukan sahaja kreativiti malah keupayaan pelaksanaan kerja, pertandingan itu memberi kuasa kepada pelajar universiti untuk menganjurkan kempen pemasaran berskala besar.
“Ini secara tidak langsung berfungsi sebagai platform bagi mereka untuk belajar dengan mengalami sendiri semua aspek pelaksanaan pelan pemasaran di samping membolehkan mereka membina hubungan interpersonal dan menonjolkan kreativiti mereka.
“Pertandingan ini turut mengasah kemahiran yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan dalam industri automotif yang bergerak pantas terutama ketika bekerja dengan sebuah jenama terkemuka seperti Proton,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran bermula April hingga Julai ini dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Pusingan Penyingkiran, Separuh Akhir dan Pusingan Akhir.
Tahap Pertama memerlukan peserta merangka pelan pemasaran untuk Proton bagi mengekalkan kedudukan Proton X70 sebagai SUV terbaik Malaysia dan bagaimana Proton boleh mewujudkan aktiviti melibatkan orang ramai yang lebih baik. Daripada 51 kumpulan bertanding, hanya 19 kumpulan dipilih untuk ke peringkat kedua.
Segala usaha kemudiannya dilakukan untuk memastikan mereka dapat melayakkan diri sehingga ke peringkat akhir pada 23 Julai ini di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam. Para peserta akan dihakimi oleh panel pakar, termasuklah pakar terkemuka dalam bidang pemasaran. – UTUSAN ONLINE











