KUALA LUMPUR – Tiada alasan untuk bahasa selain bahasa kebangsaan, bahasa Melayu digunakan di papan tanda jalan di seluruh negara.
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, bagi rakyat yang telah lebih 60 tahun menjadi warganegara, tidak sepatutnya ada tidak faham akan nama jalan dan tempat dalam bahasa kebangsaan.
“Selagi alasan lapuk itu diterima, selama itulah bahasa negara tidak diendahkan oleh golongan yang tidak menghargai taraf kewarganegaraan yang diberikan kepadanya.
“Daripada segi undang-undang khas, ada Undang-undang Kecil Pengiklanan yang menetapkan penggunaan bahasa di tempat awam seperti nama bangunan, premis, jalan, iklan dan lain-lain.
“Berkaitan dengan nama jalan, tidak wajar digunakan bahasa lain daripada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerana nama jalan turut mewakili citra atau imej negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang mendapati hampir keseluruhan papan tanda jalan dalam kawasan pekan Tanjong Sepat, Selangor yang mempunyai lebih 10 lorong memaparkan tulisan Cina.
Tambah Awang, pihak berkusa tempatan (PBT) tidak wajar berdiam diri atau memandang ringan akan tanggungjawab dalam melaksanakan salah satu dasar negara, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan.
“Langkah penting ialah penguatkuasaan oleh PBT yang bidang kuasanya meliputi penguatkuasaan Undang-undang Kecil Pengiklanan.
“Penyelarasan tugas yang telah dibuat dengan DBP patut ditingkatkan dalam bentuk Gerakan Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam yang sentiasa melakukan pemantauan penggunaan bahasa di tempat awam.
“Selain itu, usaha DBP untuk memperoleh kuasa mengambil tindakan undang-undang patut diluluskan segera oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











