KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengenai tiada sebarang tindakan diambil terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz yang membuat pengakuan kontroversi mengenai video seks yang didakwa bersama individu mirip Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Khalid Jaafar berkata, Haziq Abdullah sepatutnya dikenakan tindakan keras kerana melakukan perbuatan menjijikkan dan bukannya membuat pengakuan sebagai seorang mangsa.
“Beliau dengan bangga membuat pengakuan melakukan seks luar tabii yang bukan sahaja dilihat sebagai amat jijik oleh masyarakat Melayu dan Islam di negara ini bahkan perbuatan itu juga adalah satu jenayah.
“Ketiadaan sebarang tindakan daripada PKR kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu akan mencemarkan nama parti di mata orang Melayu dan Islam di negara ini. Kealpaan ini akan dilihat sebagai kegagalan kepemimpinan dalam parti khususnya kepada presiden,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga membidas kenyataan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang mengatakan Haziq Abdullah pernah menjadi pelatih kepada Mohamed Azmin ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor.
“Ini fakta yang salah. Saya sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Penyelidikan Pejabat Menteri Besar ketika itu mencadangkan kepada Mohamed Azmin supaya mengambil Haziq Abdullah sebagai pelatih untuk memberi pendedahan kepada seorang anak muda menimba pengalaman.
“Beliau ketika itu kelihatan berpotensi dan merupakan seorang alumni Sekolah Politik Institut Kajian Dasar. Namun, cadangan saya ditolak dan demi menjaga hatinya saya mencadangkan kepada anak muda itu supaya menjadi pelatih di Pejabat Menteri Besar di bawah pengawasan saya di Tingkat 20 dan bukannya sebagai pelatih Menteri Besar,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE











