BUKIT MERTAJAM – Seorang anggota polis cedera akibat ditikam dengan pemutar skru ketika cuba menahan seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah di Zon Tiga kawasan Industri Kecil Sederhana Malaysia-Kuwait di Permatang Tinggi, Bukit Tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 malam itu, mangsa, Koperal Mohd. Azmi Satiman, 42, mengalami kecederaan di lengan kiri selepas berlaku pergelutan ketika cuba menangkap suspek berusia 38 tahun tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika kejadian mangsa dan seorang lagi rakan setugas sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan sebelum ternampak suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di atas sebuah motosikal.
“Mangsa cuba menahan suspek dan secara tiba-tiba suspek mengeluarkan sebatang pemutar skru lalu terus menyerang mangsa dengan agresif.
“Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang kemudiannya telah menikam bahagian perut dan lengan kiri mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Nik Ros Azhan, suspek akhirnya berjaya ditahan dan pemutar skru yang digunakan untuk mencederakan mangsa turut dirampas.
“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Bagaimanapun ujian air kencing mendapati dia negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah beliau, anggota polis yang cedera itu telah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk mendapatkan rawatan. – UTUSAN ONLINE











