BUTTERWORTH – Keasyikan 10 remaja termasuk tiga pelajar masing-masing berusia 15, 16 dan 17 tahun menghisap dadah di dalam bilik asrama sebuah kolej swasta di sini membawa padah selepas mereka dicekup warden asrama berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, pelajar tersebut serta penuntut kolej swasta berkenaan yang berusia antara 18 hingga 25 tahun dicekup bersama-sama balang kaca yang diubah suai untuk menghisap dadah dan sejumlan dadah.
Menurut Ketua Polis Daeran Seberang Perai Tengah (SPT), Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, warden berusia 60 tahun itu kemudiannya menghubungi polis dan pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 0.30 gram dadah jenis methamphetamine daripada remaja berkenaan.
Tambah beliau, hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati tujuh daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine selain dua daripada mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Kesemua mereka kini ditahan di lokap ibu pejabat polis daerah SPT untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











