IPOH – Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dikatakan telah menghilangkan diri sebaik sahaja timbul isu video intim seorang individu yang menyerupai seorang menteri, sebenarnya sedang mengikuti kursus di sebuah universiti di luar negara.
Sumber memberitahu, Farhash yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ke luar negara sebelum timbulnya isu video intim tersebut.
Menurut sumber tersebut, Farhash yang kini mengikuti pengajian peringkat ijazah kedoktoran (PhD) di sebuah universiti tempatan, sedang mengikuti kursus jangka pendek bidang urus tadbir di sebuah universiti di luar negara.
“Beliau tidak menghilangkan diri seperti yang disangka. Jadi tidak wajar nama beliau dikaitkan dalam isu video intim yang tular dalam laman sosial,” kata sumber berkenaan kepada Utusan hari ini.
Sumber berkenaan mengulas mengenai laporan yang mendakwa kononnya seorang pengerusi PKR negeri menghilangkan diri sebaik sahaja video intim seorang individu menyerupai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tular dalam media sosial.
Ketua AMK Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku sebagai pelaku dalam video seks tersebut.
Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang pada 14 Jun lalu ketika mahu menaiki penerbangan ke Manila.
Walaupun tidak menyebut nama Pengerusi PKR negeri mana, namun individu tersebut dipercayai ialah Farhash yang dikatakan tidak lagi aktif dalam kumpulan Whatsapp PKR.
Kehilangan Farhash semakin menjadi tanda tanya apabila beliau tidak hadir pada majlis hari raya Aidilfitri PKR Perak di Kuala Kangsar baru-baru ini.
Malah terdapat ciapan dalam kumpulan Whatsapp PKR bahawa Farhash dikatakan telah meloloskan diri ke Manila dan berada bersama Haziq ketika ditahan di KLIA2. – UTUSAN ONLINE











