Cabya ‘nenek moyang’ cili penduduk di kepulauan Nusantara - Utusan Malaysia

Cabya ‘nenek moyang’ cili penduduk di kepulauan Nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Cabai juga disebut sebagai lada atau cili sering digunakan dalam masakan di Asia Tenggara bagi menghasilkan rasa pedas, namun, tumbuhan tersebut bukan berasal dari rantau Nusantara, demikian menurut akhbar Jakarta Post yang memetik laporan Kompas.com.

Cili moden terdiri daripada pelbagai jenis antaranya cili padi, cili merah, cili keriting dan cili hijau.

Jakarta Post menyatakan, varian cili yang digunakan pada masa ini sebenarnya berasal dari Amerika Utara dan Amerika Selatan, namun diperkenalkan ke Indonesia dalam kurun ke-16 oleh pelayar Portugis serta Sepanyol.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Kompas.com pula, pada zaman dahulu, apa yang disebut sebagai cili oleh penduduk Nusantara bukanlah cili yang kita kenali sekarang.

Istilah Nusantara secara amnya merujuk kepada rantau yang dihuni orang Melayu termasuk selatan Thailand, Filipina, Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura hinggalah ke sempadan Papua New Guinea.

Ahli sejarah kulinari, Fadly Rahman dipetik sebagai berkata, cili pada zaman dahulu adalah berbeza dari segi bentuk dan jenis tanaman.

Katanya, apa yang disebut sebagai cili oleh masyarakat Nusantara dahulu kala adalah cabya.

“Cabya disebut dalam inskripsi kuno Jawa dari abad ke-10 lagi,” ujar Fadly.

Menurutnya, cabya atau nama saintifiknya, Piper retrofractum, merupakan tanaman daripada genus lada dan sirih. Tumbuhan itu mempunyai rasa pedas dan digunakan untuk menyedapkan makanan.

Bentuk cabya mirip dengan cili, memiliki warna hijau ketika muda dan berwarna kemerah-merahan apabila matang. Namun berbeza dengan cili yang memiliki permukaan licin, cabya mempunyai tekstur yang berbintik.

Tumbuhan itu jarang digunakan, namun ia masih ramuan popular untuk menghasilkan jamu. 
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini