KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Batu Caves akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran insiden paip pecah di hadapan Family Mart, Taman Prima Sri Gombak hari ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya menjangka kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan dalam tempoh 24 jam.
Katanya, antara kawasan yang terjejas ialah Astana Gemilang, Kampung Sri Gombak Indah, Taman Harmonis, Kampung Tengah Gombak, Taman Indah Gemilang dan Desa Minang.
“Kami akan mengemas kini status dari semasa ke semasa dan orang ramai boleh merujuk aplikasi Air Selangor serta laman web di www.syabas.com.my untuk senarai kawasan terjejas serta status terkini.
“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini amatlah dihargai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE.











