KUALA LUMPUR – Taktik lapuk sebuah premis di Jalan Khoo Teik Ee Off Jalan Imbi, di sini, yang menawarkan kegiatan perjudian dalam talian secara sembunyi gagal selepas diserbu pihak berkuasa, semalam.
Serbuan Op Dadu pada pukul 12.30 tengah hari itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Rohazah Alwi berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya menahan sebanyak 11 lelaki warga asing berusia lingkungan 30 hingga 49 tahun.
“Semakan mendapati lapan lelaki terbabit merupakan warga Bangladesh, manakala tiga lagi adalah warga Indonesia.
“Warga asing ini masing-masing berperanan sebagai penjaga premis, pemain serta penonton,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rohazah, pihaknya turut merampas tablet, modem, komputer riba serta wang tunai.
“Siasatan lanjut mendapati, premis itu dijaga oleh seorang suspek lelaki warga Bangladesh dan telah aktif sejak dua minggu lalu.
“Premis di tingkat bawah adalah premis lama yang pernah diserbu beberapa bulan lalu kerana menjalankan kegiatan sama namun mereka mula untuk beroperasi semula secara rahsia dengan menutup pintu depan, tetapi ada satu pintu khas sebelah tangga untuk membolehkan pemain masuk,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.-UTUSAN ONLINE











