KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan telah mengemukakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung jumlah bayaran royalti petroleum yang perlu dibuat kepada negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengiraan tersebut dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan berdasarkan pengeluaran di beberapa pelantar minyak dan gas yang terdapat di negeri ini.
Beliau berkata, biarpun sumber pengiraan itu bukan daripada Petronas namun beliau percaya jumlah tersebut tidak tersasar daripada hak yang mereka sewajarnya perolehi.
“Saya telah mengadakan dua perjumpaan dengan Perdana Menteri, perjumpaan lebih kepada kunjungan hormat, pertama sebaik sahaja selesai mesyuarat Majlis Kewangan Negara di mana dalam ucapan beliau Dr. Mahathir menyebut Kerajaan Pusat akan memansuhkan wang ihsan dan bayaran royalti akan dibuat secara terus kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu tanpa mengira status negeri yang diperintah oleh pembangkang.
“Atas perkara tersebut, saya berkunjung hormat untuk memberikan penghargaan dan terima keasih kepada beliau dan meminta supaya hubungan di antara kerajaan dibuat melalui Exco dalam portfolio masing-masing.
“Pada pertemuan kedua saya mengemukakan nilai kewangan yang sepatutnya diperoleh daripada petroleum untuk negeri ini. Walaupun sumber ini bukan daripada Petronas tetapi daripada UPEN berasaskan beberapa punca,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Ab. Aziz Derashid (BN – Kuala Balah) dalam sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Ab. Aziz mengemukakan soalan apakah yang telah dicapai daripada perjumpaan dengan Menteri Besar dengan Perdana Menteri sebelum ini.
Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya akan terus mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai pembayaran royalti petroleum tersebut kerana yakin Perdana Menteri akan mengotakan janjinya.
“Kita tidak diberi satu tarikh tertentu, kemungkinan kita tunggu kerana proses telah kita penuhi, kecuali mungkin ada tidak persefahaman di antara menteri-menteri seperti di antara Menteri kewangan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
“Saya masih lagi yakin Perdana Menteri akan mengotakan janjinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











