KUALA LUMPUR – Dividen bagi Skim Pelaburan Khas Peladang di bawah Dana Peladang Kebangsaan bagi tahun kewangan 2018 diumumkan sebanyak lapan peratus.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Dividen itu akan memberi manfaat kepada seramai 5,119 pelabur.
Salahuddin berkata, dividen itu sedikit berkurangan bagi 2018 berbanding 2017 yang mencatatkan dividen 10 peratus.
“Nafas digantung operasi pada Jun 2018 hingga Januari lalu berikutan penyusunan semula kepemimpinan tertinggi Nafas. Tetapi ia mampu beri dividen pada 2018.
“Pengarah-pengarah baharu begitu komited dan mungkin pada 2019 akan lebih baik pencapaiannya,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Nafas 2019 di Tropicana Golf and Country Club, Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Ahli Jemaah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi dan Pengurus Besar Nafas, Ahmad Shaari. – UTUSAN ONLINE











