PETALING JAYA – Tindakan luar batasan seorang bapa angkat dengan mendera dua anaknya membawa padah apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan perbuatan tersebut hujung bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Rajah Abdullah, 49, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
Berdasarkan pertuduhan, peniaga Pasar Borong Selangor itu didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun sehingga mangsa mengalami kecederaan pada muka, tangan, pinggang dan kaki.
Sementara itu bagi pertuduhan kedua pula, lelaki berkenaan didakwa melakukan penganiayaan kepada kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada kedua-dua tangannya.
Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di rumahnya di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan di sini pukul 6 petang, 30 Mei lalu.
Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Kiat Mee mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











