Marquez unggul di GP Barcelona - Utusan Malaysia

Marquez unggul di GP Barcelona

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA – Insiden yang melibatkan empat pelumba di selekoh ke-10 seawal pusingan pertama pada perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Barcelona di Litar Catalunya malam tadi memudahkan tugas pelumba Repsol Honda, Marc Marquez memenangi saingan tersebut.

Pelumba Repsol Honda, Jorge Lorenzo dilihat menjadi punca insiden perlanggaran tersebut apabila dia terjatuh dan menyebabkan tiga lagi pelumba daripada pasukan Ducati, Andrea Dovizioso serta dua penunggang Monster Energy Yamaha, Valentino Rossi dan Maverick Vinales terlibat sama.

Selepas insiden berkenaan, juara dunia tujuh kali itu terus memimpin perlumbaan sebelum menamatkan saingan menerusi catatan masa 40:31.175 saat (s) dengan 2.7s meninggalkan pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo di tempat kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemenangan tersebut sekali gus memberi kelebihan buat pelumba dari Sepanyol itu dalam perebutan takhta kejuaraan musim ini apabila menerajui saingan dengan 140 mata, 37 mata meninggalkan pencabar utama, Dovizioso di tempat kedua.

“Saya sedar apabila mereka terlibat dalam insiden perlanggaran itu dan menggunakan kesempatan untuk mendahului perlumbaan. Saya tahu perlumbaan hari ini (semalam) akan menjadi sukar, jadi saya perlukan strategi terbaik untuk pastikan kemenangan.

“Fabio (Quartararo) sa­ngat pantas, jadi saya perlu buat keputusan terbaik mengenai penggunaan tayar dan saya cuba untuk berikan segala-galanya pada awal perlumbaan bagi memastikan tidak ketinggalan. Terima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera dalam keadaan terbaik,” kata Marquez.

Dalam pada itu, sejarah juga tercipta buat Quartararo apabila pelumba dari Perancis itu berjaya meraih kedudukan podium pertama dalam karier MotoGP selepas dia menamatkan perlumbaan di tempat kedua. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini