Warga emas terperangkap 4 hari dalam longkang - Utusan Malaysia

Warga emas terperangkap 4 hari dalam longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 16 Jun – Berpantang ajal sebelum maut.

Seorang lelaki warga emas masih panjang umur walaupun sudah empat hari terjatuh dalam longkang yang dipenuhi lumpur apabila dia diselamatkan sepasang suami isteri petang tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Warga emas berusia 60 tahun dan tinggal sebatang kara tersebut bernasib baik apabila ditemukan seorang kanak-kanak berusia enam tahun semalam tetapi cubaan pertama kanak-kanak itu memaklumkan kepada pasangan berkenaan gagal kerana dia bercakap dalam longhat Kelantan.

Pengusaha gerai makanan, Rusma Shamsuddin, 39, berkata, anak jirannya tersebut sekali lagi memaklumkan hal tersebut hari ini dan bersyukur kerana salah seorang pekerjanya memahami apa yang dituturkan kanak-kanak itu.

Menurutnya, dia segera meminta suaminya, Wan Mohd Zul Haffizi Wan Hussin, 30, serta dua pekerjanya memeriksa longkang berhampiran rumahnya.

“Kami terkejut bila lihat seorang lelaki berusia lingkungan 60-an berada di dalam longkang itu. Ingat pakcik itu dah meninggal dunia sebab dia tak menyahut ketika dipanggil. Mujur dia tak dibawa arus deras sebab dua tiga hari ini hujan lebat.

“Kami lega bila dia mula gerakkan kakinya tak beberapa lama kemudian. Dia sangat lemah dan hampir seluruh tubuhnya dipenuhi lumpur.

“Kami cuba bercakap dengannya, namun dia tidak berdaya untuk mengeluarkan suara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini selepas dia memuat naik beberapa keping gambar mangsa di Facebooknya.

Rusma berkata, suami serta dua pekerjanya mengeluarkan lelaki itu dari dalam longkang dan membawanya ke rumah sebelum dimandikan dan berikan makanan.

“Selepas makan, pakcik itu mula bercakap tapi tak suaranya tak berapa jelas. Dia beritahu dah empat hari berada dalam longkang itu dan cuba meminta pertolongan namun suaranya tak didengari,” katanya.

Tambahnya, warga emas itu dipercayai warga tempatan berdasarkan percakapannya dan dia hanya menggelarkan dirinya sebagai Bala tetapi tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa.

“Dia mengaku masih bujang dan hanya sebatang kara. Saya percaya dia bukannya tinggal di kawasan ini memandangkan jiran-jiran pun tak mengenalinya,” katanya yang kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Shah Alam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini