Lebih sejuta penduduk Hong Kong berhimpun Ahad lalu menolak sekeras-kerasnya cadangan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) yang membolehkan mana-mana penduduk wilayah ini yang terlibat dalam kegiatan jenayah diekstradisi ke China, bimbang kebebasan mereka akan tergugat.
Hong Kong diletakkan di bawah jajahan British sehingga 1997, sebelum diserahkan kepada China atas konsep satu negara dua sistem iaitu sebuah negara yang mempunyai kuasa autonomi terhadap udang-undang dan politik mereka sendiri.
Ramai menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan RUU berkenaan yang dianggap mereka sebagai satu langkah yang akan melemahkan kebebasan sistem perundangan Hong Kong dan pada masa sama, meletakkan penduduk dan warga negara luar dalam risiko apabila suspek jenayah dihantar ke tanah besar China untuk dibicarakan.
Kerajaan Hong Kong telah membuat beberapa semakan terhadap RUU Pesalah Pelarian dan Bantuan Perundangan Bersama dalam Perkara Undang-Undang Jenayah dan akan dibincangkan semula menerusi majlis perundangan pada Rabu depan.
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam bagaimanapun berpendapat Rang Undang-Undang (RUU) itu perlu untuk membolehkan negara itu menegakkan keadilan dan melaksanakan kewajipan antarabangsa.
Beliau pada masa yang sama, menafikan penglibatan Beijing ke atas cadangan penggubalan yang tidak hanya akan dilaksanakan di China, tetapi juga Macau, Taiwan dan negara-negara lain.
SEBAB KERAJAAN INGIN MENERUSKAN RUU EKSTRADISI
Pentadbiran Hong Kong pada asalnya mencadangkan pindaan RUU berkenaan pada Februari tahun ini ekoran kes melibatkan seorang lelaki tempatan, Chan Tong-kai yang dikehendakki kerana disyaki membunuh teman wanitanya ketika mereka bercuti di Taiwan.
Pihak berkuasa enggan menghantar lelaki berkenaan kembali ke Taiwan untuk dibicarakan kerana ketiadaan persetujuan ekstradisi secara rasmi antara kedua-dua negara.
Pengurusan ekstradisi Hong Kong termaktub di bawah Ordinan Pesalah Luar Negara, yang dipersetujui ketika Britain menyerahkan Hong Kong kepada China namun Taiwan, Macau dan tanah besar China tidak termasuk dalam perjanjian berkenaan.
Tindakan mengecualikan negara-negara tersebut dalam perjanjian itu dianggap sesetengah pihak sebagai satu keputusan yang disengajakan memandangkan wujudnya perbezaan terhadap sistem keadilan jenayah di tanah besar China dan kelemahannya dalam melindungi hak asasi.
Lam menyifatkan perkara itu sebagai satu kelemahan yang mengekang ekstradisi penjenayah seperti Tong-kai.
PINDAAN YANG DIBUAT
Hong Kong menandatangani persetujuan ekstradisi bersama 20 negara termasuk Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura namun pindaan yang dicadangkan pihak pentadbiran pada sudut lain dilihat sebagai satu cara untuk membolehkan penghantaran pesalah jenayah ke negara yang tidak mempunyai persetujuan ekstradisi secara formal berdasarkan kes-kes tertentu.
Di bawah cadangan tersebut, Lam yang dipilih Jawatankuasa Pilihan Raya mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang permohonan ketika kesemua 70 ahli dewan rakyat tidak mepunyai sebarang peranan dalam proses berkenaan.
Mahkamah Hong Kong akan diberi kebebasan untuk mengkaji sebarang keputusan, tetapi tidak dibenarkan untuk mempersoalkan tahap keadilan yang diterima tertuduh atau menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak.
Pengarah Amnesty International Hong Kong, MK Tam berkata, mahkamah tidak mempunyai kuasa yang besar untuk menolak sebarang permohonan ekstradisi.
“Ia bukan pendakwaan formal oleh itu anda tidak dibenarkan untuk memeriksa bukti-bukti yang dibentangkan pihak sebelah sana,” katanya.
Pindaan tersebut akan melibatkan 37 kesalahan, termasuk penipuan dan beberapa jenayah kolar putih yang lain.
Pentadbiran Hong Kong mengumumkan beberapa siri cadangan perubahan pada penghujung Mei lalu termasuk mempertimbangkan permohonan ekstradisi bagi jenayah-jenayah yang melibatkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan menetapkan tempoh tertentu bagi tarikh kesalahan untuk mengelakkan kaji semula permohonan lampau.
Pada masa yang sama, hanya Mahkamah Tinggi China serta Pendakwaraya tertingginya sahaja dibenarkan untuk memfailkan permohonan ekstradisi.
Ketua Eksekutif Hong Kong akan mempunyai bidang kuasa untuk menghormati akuan tidak bersalah, hak-hak rayuan semula, perbicaraan terbuka dan beberapa lagi norma kehakiman antarabangsa.
Pentadbiran juga telah mencadangkan perubahan terhadap bantuan undang-undang bersama, yang akan membenarkan penyiasat luar memohon bantuan penguatkuasa Hong Kong bagi sebarang penyiasatan, rampasan dan arahan kekangan.
Memandangkan Polis dan penguatkuasa China tidak dibenarkan untuk beroperasi di Hong Kong, peguam berpandangan perubahan-perubahan itu akan membawa impak yang signifikan.
KERISAUAN PENDUDUK HONG KONG
Hong Kong dikembalikan kepada China di bawah konsep satu negara, dua sistem.
Perlembagaan mini yang mentadbir Hong Kong selepas era penjajahan berjanji untuk melindungi hak dan kebebasan penduduknya serta individu di wilayah lain yang termasuk dalam undang-undang.
Penganalisis politik, Michael DeGolyer berkata, warga Hong Kong amat sensitif berkaitan isu-isu melibatkan kebebasan kehakiman.
“RUU ini bukan sahaja akan menghancurkan perlindungan-perlindungan tersebut malah diletakkan di tangan seseorang yang enggan menolak sebarang tekanan daripada Beijing,” katanya.
Penentangan terhadap penggubalan berkenaan tercetus kerana Presiden China, Xi Jinping yang sering tidak sependapat dengan pentadbiran Hong Kong.
Penduduk Hong Kong juga khuatir penggubalan undang-undang itu sebenarnya digunakan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik.
Perang dagang dengan AS mengakibatkan tumpuan turut beralih kepada sistem kehakiman yang dilaksanakan China.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Morgan Ortagus turut meluahkan kekhuatirannya terhadap rancangan pindaan undang-undang tersebut yang disifatkannya sebagai kemusnahan berterusan terhadap Hong Kong.
AS khuatir cadangan itu akan merosakkan pembangunan ekonomi dan memberi kesan langsung terhadap warga AS yang tinggal atau berkunjung ke Hong Kong.
CHINA MENYOKONG HASRAT KERAJAAN PUSAT
China dalam pada itu menegaskan pihaknya tidak campur tangan dalam keputusan Hong Kong untuk menggubal undang-undang ekstradisinya, namun pada masa yang sama menyokong insiatif terbabit.
Malah China menyatakan sokongan, menghormati dan memahami keputusan Hong Kong untuk menangguhkan RUU itu selepas Lam memutuskan menangguhkan pelaksanaannya.
Lam bagaimanapun dilihat ‘tunduk’ kepada desakan rakyat apabila menangguhkan pelaksanaan RUU itu, memulakan semula komunikasi dengan semua sektor masyarakat, kerjasama dan mendengar pelbagai pandangan.











