LONDON – Bekas pemain Chelsea, Mark Schwarzer menyifatkan penghijrahan Eden Hazard ke Real Madrid merupakan satu kehilangan besar buat pasukan The Blues.
Hazard yang telah bersama dengan Chelsea selama tujuh tahun merupakan tonggak utama di Stamford Bridge dan mengukuhkan reputasi sebagai antara pemain terbaik dunia tetapi kekosongan yang ditinggalkan kapten Belgium itu mampu diisi pemain lain.
Selepas perpindahannya ke Real dilengkapkan dengan Blues turut berkemungkinan berdepan penggantungan pembelian pemain, tugas untuk mencari penggantinya pasti tidak mudah tetapi ia bukan mustahil.
“Tidak perlu menyebut betapa pentingnya Eden Hazard kepada pasukan sejak beberapa tahun lalu. Tetapi saya tahu kadang kala pemain sehebat itu sering menjadi tumpuan namun kehilangannya mampu diisi pemain lain.
“Apa yang akan berlaku sekarang ialah akan ada pemain di dalam skuad yang akan melangkah ke depan dan mula menunjukkan prestasi yang lebih konsisten.
“Ada beberapa pemain di Chelsea yang prestasinya terumbang ambing selama beberapa musim dan kini mereka mempunyai peluang (untuk membuktikan kemampuan mereka).
“Mereka kehilangan salah seorang pemain terbaik dunia dan ia satu kehilangan yang besar, tiada keraguan mengenainya. Tetapi Chelsea masih memiliki skuad yang amat kuat,” kata bekas penjaga gol itu dan menjangkakan Chelsea akan terus mencabar kedudukan empat terbaik Liga Perdana Inggeris pada musim depan. – AGENSI











