KUALA LUMPUR- Lelaki yang mengaku mendera anak angkatnya di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dekat sini pada 30 Mei lalu akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, lelaki berusia 49 tahun itu akan didakwa pada pukul 8 pagi esok di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 Akta kanak-kanak 2001.
“Maklumat lanjut boleh diketahui di mahkamah ketika pertuduhan dibacakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 11 Jun lalu, polis menahan reman lelaki tersebut yang mengaku mendera kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.
Hasil pemeriksaan sebuah rumah di lokasi kejadian turut menemukan dua sudu panjang berukuran 80 sentimeter dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan kanak-kanak perempuan berkenaan.
Katanya, seorang lagi anak lelaki suspek berusia sembilan tahun berada dalam jagaan ibu suspek dan akan dihantar untuk pemeriksaan di hospital.-UTUSAN ONLINE











