PADANG TERAP – Sejak lebih dua minggu lalu, penduduk di lima buah kampung di Kuala Nerang di sini, menanggung sengsara kerana terpaksa keluar sejauh tiga kilometer hanya semata-mata untuk mendapatkan liputan telefon bimbit.
Hal demikian kerana sebuah menara pemancar di situ yang menempatkan empat buah syarikat telekomunikasi secara sekali gus, mengalami kerosakan.
Lebih malang perkara itu berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri sehingga turut menyebabkan anggota tentera yang terpaksa bertugas di sempadan negara di situ, gagal menghubungi keluarga masing-masing pada hari Lebaran itu.
Lima buah kampung yang terlibat adalah Kampung Berjaya, Sungai Mas, Sukamari, Mahawangsa Sungai Siput dan Sungai Pisang.
Menurut penduduk Kampung Mahawangsa Sungai Pisang, Shafiee Othman, banyak aktiviti penduduk kampung terjejas ekoran masalah itu termasuk mereka yang menjalankan perniagaan makanan secara dalam talian.
Katanya, dia difahamkan ada peniaga terbabit yang kerugian mencecah ribuan ringgit kerana tidak dapat menerima tempahan pelanggan dan membuat penghantaran produk mereka, sepanjang tempoh itu.
“Bukannya tidak membuat laporan tetapi sudah lebih empat kali kami berbuat demikian (laporan) dan menghubungi syarikat telekomunikasi itu tetapi keadaan masih sama.
“Mereka memaklumkan mengalami kerosakan pada perkakasan dan perisian pada pemancar itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah Shafiee, berikutan masalah menara pemancar telekomunikasi itu, penduduk terpaksa menaiki kenderaan keluar dari kampung mereka sejauh tiga kilometer untuk mendapatkan liputan.
“Bayangkan jika ada hal kecemasan seperti kematian atau kebakaran dan penduduk sukar berhubung dengan ahli keluarga atau agensi terlibat.
“Selain penduduk, mereka yang datang ke kampung untuk bekerja seperti di sektor perladangan kelapa sawit dan getah turut mengalami masalah serupa,” katanya.
Kata Shafiee lagi, penduduk yang menggunakan perkhidmatan internet turut mengalami kerugian kerana tidak dapat menggunakan perkhidmatan itu sedangkan terpaksa membayar bil-bil tersebut secara bulanan. – UTUSAN ONLINE











