KUALA LUMPUR – Bekas pencabar gelaran Juara Dunia One Championship (ONE), Agilan Thani menewaskan Yoshihiro Akiyama dalam kategori walterweight ONE: Legendary Quest di Arena Baoshan, Shanghai semalam.
Agilan yang terkenal dengan julukan Alligator itu mencalarkan momen kemunculan sulung selepas empat tahun setengah berehat, Akiyama dari Jepun, menerusi keputusan sebulat suara selepas tiga pusingan.
Menerusi kenyataan ONE Championship hari ini, prestasi petinju negara berusia 23 tahun itu dilihat bertambah baik dengan mempamerkan beberapa kombinasi tinju yang menarik ketika menentang Akiyama dalam perlawanan tersebut.
“Thani mempamerkan kemahiran serangan yang semakin baik, disertai pelbagai kombinasi tinju ketika Akiyami cuba menyelamatkan keadaan menerusi teknik judonya.
“Thani turut mendominasi pergelutan sepanjang durasi pertarungan. Bagaimanapun, selepas tiga pusingan perlawanan yang sengit, ketiga-tiga pengadil memihakkan kemenangan kepada Thani,” maklum kenyataan tersebut.
Dalam perlawanan tersebut, juara dunia Stamp Fairtex dari Thailand berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Dunia ONE Atomweight Muay Thai selepas mengatasi petinju Australia.
“Kedua-dua petarung wanita itu berentap dalam lima pusingan penuh aksi, berbalas serangan menerusi pelbagai kombinasi.
“Sepanjang pertarungan, Stamp dilihat mempamerkan dominasinya, selain sering mendapat peluang menghantar pukulan. Di akhir perlawanan, pengadil yang mengadili perlawanan memberikan kemenangan kepadanya menerusi keputusan sebulat suara,” makum kenyataan itu.- UTUSAN ONLINE











