'Saya sedih kami jadi begini' - Utusan Malaysia

‘Saya sedih kami jadi begini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Semalam sepatutnya menjadi hari yang gembira buat Rosli Jong, 30, apabila diisytihar bebas daripada jangkitan radang paru-paru setelah enam hari dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab Ii (HRPZII).

Namun, Rosli yang merupakan salah seorang daripada 112 penduduk Orang Asli suku kaum Bateq dari Kuala Koh, Gua Musang yang dijangkiti penyakit itu tetap dirundung sedih dan gundah kerana anak kecilnya, Nasri, 3, masih tidak sedarkan diri dan bernafas dengan mesin bantuan pernafasan.

Rosli berkata, anak bongsunya daripada lima beradik itu sudah lapan hari berada di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital berkenaan setelah dipindahkan dari Hospital Kuala Krai (HKK).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sedih anak saya masih sakit, kalau sebulan, dua bulan lagi pun saya sanggup tunggu asalkan dia sihat semula. Bukan saja saya dan anak bongsu yang sakit tapi dua orang lagi anak iaitu Jo, 6, dan Ja, 4, juga sakit dan dirawat di HKK.

“Saya ucap terima kasih kepada hospital yang jaga kami dengan baik dan saya harap anak-anak saya semuanya sembuh,”katanya ketika ditemui di PICU HRPZII di sini.

Rosli berkata, dia bersyukur isteri dan dua orang anak lagi tidak terkena musibah penyakit yang sama.

Jelasnya lagi, pada awalnya dia datang ke HRPZII pada 8 Jun lalu untuk menemani Nasri tetapi sehari selepas itu pihak hospital memasukkannya pula ke wad apabila didapati mempunyai simptom radang paru-paru.

“Saya berasa sakit kepala, tekak dan dada serta sukar bernafas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HRPZII, Datuk Dr. Selasawati Ghazali berkata, sehingga hari ini, seorang pesakit anak Orang Asli yang menerima rawatan di PICU HRPZII masih lagi dalam keadaan kritikal 

“Hari ini masuk hari kelapan kanak-kanak ini dirawat di HRPZII, pesakit masih kritikal dan memerlukan sokongan mesin pernafasan.

“Bapa pesakit ada bersama, sebelumnya dia juga dirawat kerana ada jangkitan paru-paru tetapi sudah diisytihar bebas jangkitan itu namun kita masih memantaunya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini