JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan bercadang untuk memberi insentif pelepasan cukai kepada syarikat swasta dan korporat yang membina infrastruktur sekolah dalam memacu pendidikan negara ke arah Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21).
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, langkah itu bagi menggalakkan syarikat swasta dan pihak korporat memberikan sumbangan dalam membangunkan infrastruktur sekolah.
Katanya, pembabitan swasta dan korporat dalam membantu pihak sekolah bukan perkara baharu namun perlu diperbanyakkan lagi bagi pembangunan modal insan menerusi PAK-21.
“Perkara itu nanti kita akan buat pengumuman rasmi,” katanya yang enggan mengulas lanjut tentang insentif pelepasan cukai terhadap syarikat yang membina infrastruktur sekolah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Permuafakatan PIBG dan Anugerah PIBKS Johor 2019, di Pusat Islam Iskandar Johor di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan. – UTUSAN ONLINE











