Dua maut dan dua cedera parah dalam kemalangan tiga motosikal di Kampung Jeram - Utusan Malaysia

Dua maut dan dua cedera parah dalam kemalangan tiga motosikal di Kampung Jeram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram dan seorang buruh binaan warga Myanmar maut dalam kemalangan yang melibatkan tiga buah motosikal di kilometer 6 Jalan Pasir Puteh-Telosan, Kampung Jeram, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 11.29 malam mangsa, Mohamad Faqizul Hakim Mat Noor, 16, dan warga Myanmar Mohd Rafik Amir Hakim, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Azmir Damiri berkata, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Muhammad Nazrullah Md. Lazim, 20, patah kaki dan tangan kiri; cedera di kepala dan luka di bahagian tangan kanan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seorang lagi pembonceng Has Noor Noor Mohammad, 24, juga warga Myanmar cedera di bahagian kepala, patah tangan dan peha kiri turut dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua lelaki Myanmar itu dikatakan tinggal di Kampung Bukit bekerja sebagai tukang rumah manakala Mohamad Faqizul Hakim dan Muhammad Nazrullah beralamat di Kampung Jeram,” katanya dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd. Azmir berkata, siasatan awal mendapati, Mohamad Faqizul Hakim menunggang motosikal jenis Honda C70 dari arah Pasir Puteh menghala ke Telosan dipercayai hilang kawalan dan melanggar motosikal jenis Honda EX-5 yang ditunggang Muhammad Nazrullah dari arah yang sama sebelum terbabas ke laluan yabg bertentangan.

“Penunggang motosikal Honda C70, kemudiannya melanggar motosikal Honda EX-5 yang ditungang oleh Mohd. Rafik yang datang dari arah Telosan dan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh bagi bedah siasat dan mendapati pendarahan kronik akibat cedera parah menyebabkan kematian.

Tambahnya, cawangan trafik masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tidak menolak motosikal dipandu dalam kadar yang laju berdasarkan bahan kes dan impak kemalangan – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini