KUALA TERENGGANU – Seorang lagi mangsa Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu kelmarin, menjadikan setakat ini sembilan mangsa di negeri ini yang dirawat di hospital itu setelah dipercayai mempunyai tanda jangkitan pada saluran pernafasan.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohd. Jusoh ketika mengesahkan perkara itu berkata, mangsa terbaharu itu merupakan seorang lelaki dari Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu.
Beliau memberitahu, mangsa yang berumur 26 tahun itu mula ditahan di wad hospital berkenaan pukul 8.57 malam Jumaat lalu.
Menurutnya, lelaki itu dikatakan mula dikesan mengalami tanda-tanda penyakit tersebut sewaktu mendapatkan rawatan di hospital setelah mengalami demam kira-kira dua minggu lalu.
“Mangsa juga telah mengalami batuk tiga hari lalu dan dia telah datang sendiri ke hospital untul rawatan,” katanya di sini hari ini.
Dr. Mohd. seterusnya berkata, setakat ini, sembilan Orang Asli masih mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu, lapan daripadanya dari Kampung Kuala Koh, Kelantan.
Lapan mangsa itu merupakan antara 23 Orang Asli dari Kampung Kuala Koh yang memulakan penempatan baharu di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu.
“Kesemua sembilan mangsa ini kini ditempatkan di wad berasingan agar mudah kami buat pemantauan dan rawatan,” jelasnya.
Beliau menambah, keadaan kesemua mangsa dilaporkan stabil dan pada masa sama pihaknya akan melakukan pemeriksaan ke atas masyarakat Orang Asli di negeri ini. – UTUSAN ONLINE











