KEPALA BATAS – Seorang penjual kuih maut manakala suaminya cedera selepas gerai jualan mereka dirempuh sebuah kenderaan dipercayai dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Bertam Indah, dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Roslinda Mohamad Isa, 44, turut tercampak ke tengah jalan akibat rempuhan kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki seorang lelaki berusia 31 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Noorzainy Mohd. Noor, suami mangsa, Mat Subri Saad, 44, yang juga berada di gerai jualan itu turut cedera di bahagian kepala dan tangan akibat rempuhan tersebut.
Katanya, ketika kejadian, kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Bertam Indah menghala ke Paya Keladi dekat sini sebelum hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh gerai jualan pasangan suami isteri berkenaan.
“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Kepala Batas di sini untuk mendapatkan rawatan namun mangsa wanita meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari tadi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Pemandu kereta Proton Iswara itu pula hanya mengalami kecederaan ringan dan kita sedang menjalankan ujian darah terhadap suspek bagi mengesan kandungan alkohol dalam badan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noorzainy menambah, pemandu kereta itu yang bekerja sebagai tukang besi kini ditahan dan ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis ganja.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dibawah pengaruh dadah dan alkohol manakala pemandu berkenaan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ). – UTUSAN ONLINE











