LONDON- Bekas pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo, menyifatkan Frank Lampard sebagai individu tepat untuk menggantikan Maurizio Sarri di Stamford Bridge.
Sarri dilaporkan semakin hampir meninggalkan Chelsea selepas kurang 12 bulan mengendali kelab itu dengan jurulatih kelahiran Itali itu difahamkan telah mencapai kata sepakat untuk bersama Juventus, musim depan.
Lampard menjadi calon kegemaran peminat untuk menggantikan Sarri berikutan kempen pertama yang positif dalam bidang pengurusan ketika menguruskan kelab Liga Kejuaraan, Derby County.
Pasukan bimbingan legenda Chelsea itu, berpeluang layak ke Liga Perdana Inggeris (EPL) namun dikecewakan Aston Villa dalam final play-off.
Bagaimanapun, ada pihak yang mempersoalkan pengalaman cetek pengurus berusia 40 tahun itu, namun Di Matteo percaya bekas kelabnya itu harus mengambil risiko dengan pelantikan bekas pemain tengah berkenaan.
“Dia (Lampard) pastinya calon yang tepat. Dia mempunyai keperibadian. Saya telah mengikuti perkembangan Derby sejak tahun lalu dan pasukannya menampilkan permainan yang sangat menarik, dia mempunyai pengalaman yang diperlukan.
“Dia sangat sesuai dengan jawatan itu. Sama ada ia berlaku sekarang atau tidak, hanya masa yang akan menentukannya.
“Anda boleh mengatakan bahawa ia terlalu awal tetapi anda perlu memberinya peluang. Frank mempunyai kesemua kriteria itu dan saya rasa dia akan membuatkan ramai orang gembira sekiranya dia dilantik,” katanya dalam majlis Invitational Costa Smeralda.
Dalam pada itu, Di Matteo, yang menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala FA bersama Chelsea pada 2012 ketika menggalas tugas tersebut selama lapan bulan, tidak terkejut dengan nasib Sarri.
“Itulah hakikat industri ini pada hari ini. Perpindahan sering terjadi dan saya tidak pasti apakah butirannya tetapi beliau kelihatan mahu kembali ke Itali .
“Dia mungkin menerima tawaran menarik daripada Juventus yang merupakan salah sebuah kelab terbesar di Itali dan Eropah,” ujarnya. – AGENSI











