PARIS- Belanda menempah tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia Wanita 2019 selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Cameroon manakala Kanada menundukkan New Zealand 2-0, awal pagi tadi.
Walaupun angka jaringan itu tampak lebih mudah berbanding kemenangan 1-0 ke atas New Zealand yang lalu, Belanda dipaksa ‘bekerja keras’ untuk memastikan Cameroon tersingkir awal.
Vivianne Miedema membuka jaringan melalui tandukan pada minit ke-41 namun Cameroon kembali bangkit menyaamakan kedudukan menerusi Gabrielle Onguene.
Bersambung babak kedua, Belanda kembali di depan apabila Dominique Bloodworth mudah menolak masuk bola ketika situasi kelam kabut ddi depan pintu gol.
Miedema kemudian mengesahkan mata penuh dengan rembatan yang melepasi Annette Ngo Ndom untuk mengukir namanya selaku penjaring terbanyak Belanda dengan 60 gol dalam 77 perlawanan pada usia 22 tahun.
Kanada pula tidak berdepan kesukaran ketika menumbangkan New Zealand di Grenoble.
Walaupun separuh masa pertama sengit, Kanada kelihatan lebih mengancam di jentera serangan dan akhirnya mereka memecah kebuntuan selepas rehat Jessie Fleming menyempurnakan gerakan yang diilhamkan Nichelle Prince.
Kedua-dua pasukan, bagaimanapun, mengendurkan permainan dan Prince berpeluang untuk mencetak nama selaku penjaring pada lewat permainan selepas menghidu tandukan Christine Sinclair dari jarak dekat.
Belanda dan Kanada akan membuat perhitungan, Jumaat depan, untuk menentukan kedudukan teratas Kumpulan E. – AGENSI











