Rozali akan dilantik sebagai Datuk Bandar bagi MBSP - Utusan Malaysia

Rozali akan dilantik sebagai Datuk Bandar bagi MBSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 16 Jun – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Datuk Rozali Mohamud merupakan calon yang akan dilantik menjadi Datuk Bandar untuk Majlis Bandaraya Seberang Perai selepas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dinaiktaraf kepada status bandaraya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata pelantikan Rozali dibuat dalam satu keputusan pada mesyuarat Exco pada Rabu lepas.

“Keputusan telah diambil untuk meneruskan perkhidmatan Datuk Rozali yang sekarang ini merupakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai sebagai Datuk Bandar baharu bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Latihan Ahli Majlis Proses Penyediaan Belanjawan PBT di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jagdeep berkata urusan bagi penyempurnaan jawatan itu akan dibuat selepas ini dimana pelantikan Rozali sebagai Datuk Bandar MBSP perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu.

“Saya dimaklumkan pihak kementerian (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) perkara ini (pelantikan) ini perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan selepas perkenan itu baharu Datuk Bandar akan mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas. Bagaimanapun tarikh angkat sumpah ini akan diumumkan kemudian, “ katanya.

Jagdeep sebelum ini mengumumkan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf MPSP kepada majlis bandar raya pada 8 Mei lalu.

Ia sekaligus menjadikan Pulau Pinang satu-satunya negeri di Malaysia yang kesemua Pihak Berkuasa Tempatannya (PBT) bertaraf bandar raya selepas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang memperoleh status majlis bandar raya pada tahun 2015, dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Untuk MPSP, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menghantar permohonan untuk menaik taraf status MPSP kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Disember lepas dan pengumuman menaiktaraf status MPSP kepada MBSP akan dibuat kerajaan persekutuan selepas Hari Raya Aidilfitri. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini