HONG KONG 16 Jun – Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam kini bergelut dalam kerjayanya sebagai ahli politik selepas mengumumkan penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) yang membolehkan mana-mana penduduk di wilayah ini yang terlibat dalam kes jenayah diekstradisi ke tanah besar China.
Agensi berita AP melaporkan, kedudukan Lam mula goyah ketika beliau mengusulkan RUU tersebut sehingga mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran yang bertukar kepada rusuhan ganas di sekitar bandar raya ini pada minggu lalu.
Selain itu, Lam juga dilihat bukan ‘calon kegemaran’ apabila beliau tidak dipilih secara langsung oleh penduduk untuk mentadbir Hong Kong, sebaliknya beliau dilantik sebagai Ketua Eksekutif selepas mendapat undian daripada 1,194 ahli jawatan kuasa yang didominasi pro elit Beijing.
Ketika ini, Lam mula menyedari bahawa penduduk wilayah separa autonomi ini ‘tidak sepenuhnya menyokong beliau’, selain pemimpin berusia 62 tahun itu hanya dilihat sebagai ‘bahan gunaan’ China. – AGENSI











