KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta agar Lembaga Disiplin PKR menyiasat dalang yang bertanggungjawab dalam mewujudkan kumpulan dalam aplikasi WhatsApp berhubung penularan video seks yang didakwa mirip dengan dirinya baru-baru ini.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, langkah tersebut perlu diambil kerana pihak yang mewujudkan kumpulan tersebut mempunyai maklumat mengenai individu yang hendak dijadikan ahli dalam laman sosial berkenaan.
Tegasnya, pihak terbabit juga mempunyai maklumat berkaitan anggota parti di pelbagai peringkat cabang daripada yang tertinggi sehinggalah rendah.
“Saya sendiri tidak mempunyai akses kepada maklumat tersebut. Persoalannya sekarang, siapa yang memberikan maklumat untuk menubuhkan kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada mereka dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung?
“Jadi, kepimpinan perlu menerangkan dengan jelas perkara ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Silaturrahim Eidul Fitr, Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di sini hari ini.
Selepas digemparkan dengan penularan video rakaman dua lelaki berbogel sedang intim di atas katil, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong tampil membuat pengakuan bahawa beliau merupakan lelaki dalam aksi seks itu bersama seseorang yang didakwa mirip Mohamed Azmin, Rabu lalu.
Mohamed Azmin kemudiannya menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya dalam video seks tersebut, malah menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat serta kejam. – UTUSAN ONLINE











