KUANTAN – Semua pihak perlu memainkan peranan memulihara kawasan hutan khususnya di negeri ini bagi memastikan flora dan fauna yang wujud di situ tidak pupus.
Timbalan Presiden Suara Anak Pahang, Mohd. Nor Hafirul Ikhram berkata, terdapat pelbagai punca yang boleh menyumbang kepada kepupusan flora dan fauna sama ada secara langsung atau sebaliknya.
“Antaranya adalah pembalakan haram yang boleh dikatakan sebagai salah satu punca utama kepupusan flora dan fauna.
“Apabila haiwan-haiwan dan tumbuhan mengalami kepupusan yang serius, ia turut menjejaskan kitaran kehidupan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nor Hafirul berkata, gajah dipilih sebagai fokus kerana haiwan itu merupakan penanda aras bagi kestabilan ekologi dan fauna sesebuah hutan.
“Jika gajah mengalami pelbagai masalah seperti kehilangan habitat, pepecahan hutan, penurunan kualiti habitat pemburuan haram dan pelbagai lagi hal yang sama turut berlaku kepada hidupan liar yang lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE











