KUALA LUMPUR – Derita dua kanak-kanak yang didera sejak bertahun-tahun berakhir apabila tiga pelakunya ditahan dalam kejadian di Jalan PBP 1/2, Pusat Bandar Puchong, dekat Serdang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung penderaan dua beradik lelaki dan perempuan berusia 7 dan 8 tahun terbabit kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
“Bertindak atas maklumat itu, kita terus menyerbu kediaman berkenaan dan menahan seorang lelaki berusia 33 tahun, wanita berusia 30 tahun dan remaja perempuan berusia 13 tahun.
“Dalam serbuan itu, kita turut menemukan sebatang kayu cota, satu garpu perak dan paip getah keras dipercayai digunakan untuk mendera mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ismadi, hasil siasatan awal mendapati dua mangsa terbabit tinggal bersama keluarga tersebut sejak tujuh tahun lalu selepas kedua ibu bapa mereka bercerai.
“Kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan hampir seluruh badannya mempunyai kesan dera selain dipercayai mengalami kurang zat badan.
“Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Serdang dan kesemua suspek yang merupakan saudara kepada mangsa akan dipohon reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Petaling Jaya esok,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











