MARAN – Perasaan panik yang menghantui pasukan Felda United menghalang The Fighters untuk menang besar semasa bertemu PKNS pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini, semalam.
Ketua jurulatihnya, Mohd Nidzam Jamil yang mengakui perkara itu berkata, perasaan panik juga nyaris menyebabkan mereka kehilangan tiga mata yang amat berharga bagi memperbaiki kedudukan pasukan.
“Kita sepatutnya berupaya mengakhiri perlawanan dengan kemenangan besar jika situasi panik tidak berlaku…apapun saya bersyukur Felda United menang dan paling penting kita dapat berganjak daripada kedudukan bawah.
“Ketika kita mendahului pada kedudukan 5-1, kita sepatutnya ‘kill the game’…tetapi semua panik termasuk saya yang sehinggakan apabila mahu menukar pemain, kita berfikir macam-macam,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, Felda United mencatat kemenangan keduanya musim ini, selepas menang tipis 5-4 terhadap PKNS menerusi jaringan Thiago Junio De Aquino pada minit keempat, kapten Hadin Azman (mnit ke-44), Faiz Mazlan (minit ke-47) dan dua gol pemain kebangsaan Singapura, Khairul Amri Kamal pada minit ke-51 dan ke-55.
PKNS pula memperoleh jaringan menerusi Kpah Sherman pada minit ke-15, Tamirlan Kozubaev (minit ke-60), Jafri Firdaus Chew (minit ke-71) dan Rodney Akwensivie pada minit ke-81.
Mohd Nidzam juga memuji persembahan anak buahnya yang disifatkan bekerja keras untuk bertahan dan melancarkan serangan, namun dalam masa sama, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum perlawanan seterusnya.
“Kita perlu membetulkan ‘set pieces’ dan sepakan sudut yang diambil supaya dapat berjaya menghasilkan lebih banyak gol pada aksi akan datang. Kami juga banyak dibarisi pemain muda dan saya perlu bersabar menunggu mereka matang dalam perlawanan,” katanya.
Sementara itu, pengendali PKNS, K. Rajagobal berkata, keyakinan skuadnya goyah apabila tuan rumah mencipta gol seawal babak pertama dan lebih buruk apabila pasukan lawan berjaya membolosi tiga gol sepanjang 46 minit permainan.
“Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa menukar pemain untuk menyeimbangkan permainan dan menghasil satu gol demi satu gol. Secara keseluruhannya, kita bermain kurang baik dan pemain juga tidak memanfaatkan peluang yang diperoleh,” katanya.
Rajagobal mengakui, beliau agak kecewa dengan keputusan tersebut dan mengambil tanggungjawab atas kekalahan tipis itu bersama barisan pemainnya.
“Saya fikir pemain lambat bangkit dan apabila mereka cuba mengejar, ia sudah terlambat. Kemenangan pada perlawanan ini memang penting untuk kita kerana kutipan mata setiap pasukan dalam liga tidak jauh berbeza,” katanya. – BERNAMA











