KETIKA Syawal masih lagi diraikan menu utama tentunya lemang ‘original’ akan mendapat tempat terutamanya pada hujung minggu.
Esok hari hujung minggu sudah tentunya banyak di antara kita menerima jemputan rumah- rumah terbuka yang kebanyakannya hidangan ‘utama’ adalah lemang.

Bagi peniaga lemang Ramli Hashim, 50, tempahan menu tersebut menjelang hujung minggu terlalu banyak sehinggakan dia terpaksa bersengkang mata demi melaksanakan permintaan pelanggan.

“Saya sudah hampir lima tahun meniaga lemang ini selepas menamatkan khidmat sebagai pemandu lori.
“Biarpun menu lemang ini nampak bermusim tetapi jika aturan dan cara pengendaliannya baik sudah tentu ia tetap menjadi pilihan orang ramai. Ada ketikanya kami membakar sehingga tengah malam ketika ditemui Utusan Online di Hulu Langat lewat petang tadi.

Ramli turut menyatakan dia telah berjaya menghasilkan hampir 800 batang sehari iaitu tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri baru- baru ini.

“Tiga hari sebelum sambutan Hari Raya saya dibantu rakan- rakan dapat menyiapkan tempahan lemang yang ditempah cuma selepas Hari Raya ini saya kekalkan sebanyak 250 batang sehari untuk jualan harian, jelasnya lagi.

Ramli yang dibantu beberapa orang pekerja yang terdiri daripada anak- anak muda membakar lemang sehingga lewat tengah malam sekiranya tempahan berganda terutamanya menjelang hujung minggu.

Sebatang lemang dijual bermula RM 10 sehingga RM 18 sebatang mengikut saiz. Ada juga beberapa jenis lemang yang turut dijual antaranya lemang pulut hitam dan lemang jagung beserta rendang ayam dan daging. – UTUSAN ONLINE











