Sarapan Barat di Warung Kendi - Utusan Malaysia

Sarapan Barat di Warung Kendi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH dua minggu dihidangkan dengan juadah Aidilfitri seperti rendang, ketupat dan lemang mungkin ada yang mahu menukar selera dengan sarapan ringkas menu barat.

Tidak perlu ke hotel mewah sebaliknya singgah di Warung Kendi yang terletak di tepi jalan utama Kampung Jenderam Hulu, Dengkil, Selangor yang bukan sebarangan warung tetapi diusahakan oleh seorang bekas cef hotel terkemuka, Riza Huzair.

Warung yang terletak di bawah pokok di hadapan sebuah rumah banglo milik bapa mentua cef Riza ini mengkhususkan sarapan barat ringkas dan sedap malah dengan harga berbaloi iaitu semahal RM9.90 untuk Kendi’s Sarapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kendi’s Sarapan merupakan hidangan penkek bersama-sama roti bakar, beef bacon, telur hancur, sosej yang digril, kacang panggang dan hash brown disertakan juga jem anggur dan madu.

Kata Mohd. Khairy Kamaruddin, 28, yang menguruskan warung ini, Kendi’s Sarapan adalah menu yang paling digemari pelanggan justeru tidak hairanlah setiap kali hujung minggu warung ini dipenuhi oleh orang ramai terutama dari Putrajaya, Bangi dan Seremban.

Menu lain termasuklah roti Kendi iaitu roti bakar dengan sosej, kacang panggang dan telur goreng yang berharga cuma RM4.90.

Turut menjadi kegemaran pelanggan ialah Morning Platter, Scramble Egg on Toast, Kendi’s Sandwich, Kendi’s Breakfast Special dan bubur nasi Kendi yang dicampur lobak merah dan kacang dal disertakan telur masin, kacang tanah dan ikan bilis serta dimakan dengan sambal, resipi ibu Mohd. Khairy.

Jika mahu hidangan sarapan lebih berat, pelanggan juga boleh memilih nasi lemak Kendi yang dihidangkan dengan telur goreng dan ayam kailo ataupun Curry Laksa Chinese Style iaitu mi kari yang dihidangkan bersama ayam, tauhu, bebola dan kek ikan.

Warung Kendi dibuka untuk menu sarapan bermula pukul 7.30 pagi sehingga 11.30 pagi manakala untuk hidangan lain termasuk masakan barat pula dibuka pada pukul 1.30 tengah hari sehingga 5 petang.

Kata Mohd. Khairy, hidangan tengah hari berupa masakan panas mi goreng mamak, Penang char kuey teow, nasi goreng Yong Chow, mi, bihun atau kuey teow ala Hokkien dan Kantonis atau hidangan istimewa warung Kendi iaitu nasi yang dihidang bersama ayam atau daging masak lada hitam atau halia ataupun Koh Poh Kai (ayam cili kering).

Peminat pasta boleh memilih antaranya Spaghetti Narone, Aglio-Olio, Carbonara dan Vongole ala Kendi.

Menurut Mohd. Khairy, kebanyakan menu di warung Kendi lebih kepada hidangan barat dan Cina kerana cef Riza mempunyai kepakaran dalam bidang masakan berkenaan.

“Sebelum membuat keputusan untuk membuka warung ini cef Riza telah membuat perancangan tersendiri iaitu tidak mahu menu yang sama seperti restoran lain yang banyak menghidangkan masakan Siam tetapi dia mahu masakan barat yang sama di hotel tetapi dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Malah idea untuk membuka warung di bawah pokok itu juga datangnya daripada cef Riza setelah dia melihat kebanyakan masakan barat dihidang dalam restoran.

“Cef mahu mahu pelanggan menikmati hidangan ini dalam keadaan yang lebih santai dan lebih terbuka maka itu dia memilih untuk membuka warung di bawah pokok,” ujarnya.

Oleh kerana kesihatan cef Riza yang kini berusia 50 tahun tidak mengizinkan, urusan warung itu diserahkan kepada Mohd. Khairy manakala resipi setiap hidangan telah diturunkan kepada seorang cef dengan dibantu oleh lapan kakitangan lain.

Warung ini boleh memuatkan kira-kira 100 orang pada satu-satu masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini