Berkorban untuk suami biar berpada - Utusan Malaysia

Berkorban untuk suami biar berpada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“NALURI seorang ibu memang sentiasa mahu mengambil berat tentang kebajikan anak-anaknya. Kasih ibu sepanjang hayat dan sebab itu mereka sentiasa memikirkan yang terbaik untuk anak-anak. Begitulah dengan perasaan saya ini,” demikian pengakuan Mazlialya ketika menghubungi penulis.

Katanya, dia sedih dengan nasib yang menimpa anak bongsunya ini. Dia berpendidikan tinggi, bekerja dan berpendapatan tetap tetapi hidup dalam kesempitan setelah berkahwin. Semuanya terpaksa uruskan sendiri tanpa bantuan suami.

“Pada saya Alya terlalu sayangkan suaminya, hingga terlupa bahawa dia sudah masuk perangkap yang bakal memusnahkan masa depannya. Saya sedih dia bekerja bermati- matian tetapi suaminya tidak ambil berat tentang Alya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah sejak tujuh tahun berkahwin dia lebih utamakan kampungnya. Tak pernah sekali beraya pertama di rumah saya bersama ipar-duai. Kampungnya bukan dekat, nun jauh di Pantai Timur.

“Satu hari Alya datang rumah tanpa Ali. Katanya dia ada masalah kerana terikat dengan hutang bank yang jumlahnya hampir seratus ribu. Terkejut saya. Pertama hutang kereta, kedua dia buat pinjaman bank untuk bantu suaminya siapkan rumah ibunya di kampung. Nak pitam saya! Kerana setahu saya kereta Alya sudah habis dibayar. Rupa-rupanya kereta suaminya pun Alya juga kena bayar. Apa pasal pula Alya kena buat pinjaman bank untuk baiki rumah mentuanya di kampung? Mana pergi gaji suaminya? Kenapa Ali tak bantu?

“Akhirnya baru saya tahu bila Alya dengan rasa sedih buka mulut bahawa suaminya sudah tiga tahun diberhentikan kerja. Selama ini Ali bekerja dengan membantu kawannya. Dua tahun lalu, ibu Ali beritahu dia perlukan duit untuk baiki dan besarkan rumah mereka di kampung. Jadi dia cari Ali setelah semua anaknya yang lain tidak dapat membantu. Alasan mereka pendapatan tak seberapa. Mereka cuma nampak Ali bekerja di KL konon bergaji besar dan banyak duit sedangkan ketika itu Ali sudah diberhentikan kerja.

“Masalahnya Ali tidak pernah beritahu keluarganya yang dia kena berhenti kerja. Oleh itu mereka masih harapkan Ali hantar duit setiap bulan pada ibunya. Dipendekkan cerita walaupun Ali ada kerja sambilan bantu kawannya, duit itu habis untuk dirinya sendiri dan untuk hantar kepada ibunya. Jadi untuk urusan rumah tangga, makan minum, pakaian. sewa rumah, bil utiliti, duit pengasuh anak, semuanya terpikul di bahu Alya, sebab itu Alya tak berduit.

“Kata Alya selama tiga tahun dia tak beritahu saya tentang masalahnya. Semuanya didiamkan dengan harapan tiba satu hari nanti Ali akan dapat kerja. Maka terlepaslah Alya daripada masalah yang maha berat itu. Tetapi dah dekat empat tahun keadaan masih tak berubah. Raya yang baru lalu, Ali tetap mahu beraya dengan keluarganya, sedangkan duit tak ada dan mengharapkan Alya menyediakan segala-galanya. Sebab itu, Alya terpaksa minta bantuan saya.

“Kalau ikutkan hati memang saya tak mahu bagi. Mereka ingat gaji Alya besar dan boleh selesaikan semuanya. Seperkara lagi sejak Alya mengadu dia susah saya perhatikan barang kemas yang saya bekalkan kepada dia semasa berkahwin dahulu semua sudah tak ada. Dan Alya mengaku semuanya dah digadaikan kerana dia sesak tak cukup duit.

“Sebagai ibu, bila melihat keadaan anak kita susah macam tu adakah kita tak simpati? Saya nasihatkan Alya jual kereta suaminya yang mahal itu. Dulu masa Ali masih bekerja bolehlah dia bayar duit kereta. Sekarang Ali tak bekerja, guna sahaja kereta kecil lebih murah. Tak banyak nak bayar ansuran bulanan. Itu belum masuk insuran setiap tahun. Tapi kata Alya, Ali tak mahu kerana sayangkan kereta besarnya itu.

“Ini yang buat hati saya lebih sakit. Dahulu masa bekerja bolehlah bergaya. Dah tak bekerja berkorbanlah sebab yang terseksa si isteri yang terpaksa pikul hutang, bukannya dia. Dia cuma pandai minta duit poket daripada Alya setiap hari selain duit petrol kalau nak keluar bantu kawannya bekerja. Kalau macam ni tauke lombong pun boleh bankrap.

“Saya juga pernah cadangkan pada Alya agar beli rumah. Tak payahlah sewa, nak sewa sampai bila? Tapi Alya mengelak, alasannya nak cari rumah yang sesuai. Rupa-rupanya suaminya sudah tak bekerja lagi. Jadi mana dia nak ambil duit nak beli rumah. Sebaliknya, dia terpaksa tanggung dua orang anak yang masih kecil selain suami sendiri.

“Sebagai ibu memang saya sedih dengan nasib Alya sedangkan kakaknya cuma ada diploma sahaja tetapi hidup dia mewah sebab suaminya bijak menguruskan keluarga. Begitu juga dengan anak lelaki saya, dia bersama isterinya bekerja keras untuk masa depan keluarga. Mereka sering berbincang dan tanya pendapat saya sebelum membuat sesuatu keputusan. Tak macam Alya .

“Saya sedih melihat keadaan Alya sekarang. Memang suami isteri mesti bantu-membantu tetapi Ali juga mesti lebih bertanggungjawab. Paling tidak jumpa kami dan ceritakan masalah mereka supaya kita boleh berbincang dan membantu. Cuma masalahnya perangai dia ini dengan mentua tak suka berbual. Kalau datang ke rumah cuma beberapa jam, lepas itu mula tarik muka ajak Alya balik.

“Sebagai orang tua, saya perhatikan perangai Ali jauh berbeza dengan menantu-menantu lain. Dia tak suka berbual. Lebih suka memencilkan diri. Perangai buruknya ini bukan sahaja ketika dia sudah berhenti kerja sebaliknya sejak dia masih bekerja. Dahulu perangainya lebih teruk lagi. Kalau pandang orang macam pandang patung. Semua orang tak sebagus dia. Sekarang baru dia tahu dunia ini berputar seperti roda. Jangan fikir awak selamanya bekerja dan bergaji besar, bila jatuh miskin baru rasa malu nak jumpa orang.

“Sebagai ibu saya sentiasa doakan yang terbaik untuk Alya tetapi melihat perangai Ali saya rasa memang Alya akan lebih susah lagi jika Ali tak berusaha cari kerja. Sampai bila nak tolong kawan buat bisnes. Gaji pun dibayar ikut keuntungan, tak untung bermakna tak ada gaji.

“Kata Alya zaman sekarang memang ramai orang kena berhenti kerja, okey saya faham. Tetapi kenalah ubah perangai. Jual kereta sekarang, beli kereta lebih kecil. Cari kerja walaupun gajinya lebih kecil daripada dulu.

“Lebih menyakitkan hati, ketika tak bekerja, masih ada hati nak bantu emak buat tambahan rumah, sedangkan diri tak bekerja dan tak berduit dan Ali sampai hati menyusahkan hidup isterinya untuk pinjam duit bank. Mengaku sajalah pada emak yang awak tak berduit dan tak bekerja lagi.

“Terbaharu kereta nak kena tarik. Itulah punca Alya datang minta bantuan. Tetapi saya tetap dengan keputusan jual kereta dan naik bas, apa nak malu? Atau guna kereta Alya tetapi kenalah bangun pagi hantar anak-anak ke rumah pengasuh, kemudian hantar Alya ke pejabat. Begitu juga waktu petang, tetapi orang malas, suka bergaya mana dia nak buat kerja yang menyusahkan dirinya. Dia sentiasa harapkan Alya sediakan segala-galanya sampai ke lutut. Itu belum masuk bab cerewetnya waktu makan. Kalau saya cerita bertambah sakit hati.

“Akhirnya saya nasihatkan Alya. Jika dia masih tidak mahu berubah dan mahu menempuh hidup yang seperti ini, selagi itu juga hidupnya akan terus terseksa. Mungkin juga sekiranya hidup semakin terseksa Alya berani membuat perubahan. Paling tidak nasihatkan Ali. Bukan tanggungjawab Alya untuk terus tanggung makan hidup anak-anaknya.

“Biar Ali berusaha jika dia sayangkan keluarganya. Jika tidak Alya boleh tepuk dada tanya selera. Berapa lama lagi dia mesti tanggung semua masalah itu. Kalau sayangkan suami pun biar berpada-pada.’’

Itu luahan hati seorang ibu tentang masalah anak perempuan kesayangannya. Katanya, dia sayangkan anaknya, tetapi dia tidak mahu beri bantuan sepenuhnya. Biar Alya belajar buat keputusan demi masa depannya sendiri. Dia juga tak kisah sekiranya ditakdirkan Alya menjadi ibu tunggal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini