Lelaki Afrika terjun tingkat 3 takut ditangkap - Utusan Malaysia

Lelaki Afrika terjun tingkat 3 takut ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Afrika patah kaki akibat terjun dari tingkat tiga selepas cuba melarikan diri dari ditangkap dalam kejadian di Pangsapuri Seri Mesra, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang mangsa wanita berhubung kejadian samun dilakukan empat lelaki warga Afrika kira-kira pukul 4.35 petang.

“Kejadian samun tersebut dilaporkan berlaku di tepi Jalan Cheras Mewah, Taman Cheras Mewah, Batu 9, dekat Cheras.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek yang tidak bersenjata cuba membawa lari beg tangan mangsa yang diletakkan dalam kenderaan, namun teman lelakinya sempat merampas semula beg tangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Dzaffir berkata, sebuah telefon bimbit dan beberapa dokumen penting milik mangsa hilang dalam kejadian tersebut.


“Susulan daripada laporan dibuat mangsa, kita bertindak menyerbu sebuah rumah di Pangsapuri Seri Mesra, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, namun setelah suspek menyedari kehadiran polis, mereka bertindak melarikan diri dengan cara terjun dari tingkat tiga pangsapuri berkenaan.

“Bagaimanapun, dua daripada mereka berjaya ditangkap yang mana seorang daripadanya mengalami patah kaki dan kini dirawat di wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, dekat Cheras,” ujarnya.

Menurut Ahmad Dzaffir, polis masih mengesan dua lagi suspek yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Broline Benson di talian 019-6938032. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini