JOHOR BAHRU – Seorang ibu kepada tiga anak terkejut peti sejuk yang dibeli suaminya secara ansuran kira-kira 11 tahun yang lalu menyebabkan mereka dibelenggu hutang sebanyak RM27,000 dan kini diburu pemungut hutang menuntut bayaran tersebut sejak bulan lalu.
Selena Tong, 55, berkata, pada April lalu, dia dihubungi oleh sebuah syarikat perabot yang memaklumkan mengenai hutang hasil pembelian peti sejuk pada 2008 dan perlu menjelaskan RM1,000 bagi menyelesaikan tunggakan bayaran tersebut.
“Selepas membuat pembayaran pada April lalu, saya sangkakan masalah itu sudah selesai, namun, pada bulan lalu anak perempuan saya yang masih bersekolah dihubungi oleh pemungut hutang yang menuntut bayaran sebanyak RM27,000.
“Perkara itu amat mengejutkan kerana melibatkan jumlah yang besar. Lebih mengejutkan, mereka turut mengugut anak saya dan memberi amaran untuk menyimbah cat merah di pintu rumah dan merampas barang dalam rumah sekiranya tidak bayar hutang tersebut,” katanya.
Selena berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat aduan di Pejabat Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon di Taman Maju Jaya di sini hari ini.
Selena memberitahu, keadaan bertambah buruk setelah suaminya sudah lama meninggalkan mereka sekeluarga yang tinggal di Flat Larkin di sini sejak lapan tahun lalu.
Dia pernah mempunyai pengalaman buruk membabitkan pemungut hutang apabila suaminya yang juga seorang kaki judi diburu ah long kerana gagal melangsaikan hutang.
“Pemungut hutang itu mendapatkan nombor anak saya kerana ia didaftarkan atas nama suami dan mereka sudah beberapa kali menghubungi anak saya dan mengugutnya untuk membuat pembayaran. Oleh kerana khuatir kami diapa-apakan, anak saya sudah membuat laporan polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE











