MERBOK – Sebanyak 2,120 cawangan UMNO yang mempunyai keahlian seramai 280,000 orang di negeri ini selesai mengadakan mesyuarat agung di kawasan masing-masing.
Setiausaha Kerja UMNO negeri, Datuk Ariffin Man berkata, terdapat 105 cawangan lagi tidak dapat mengadakan mesyuarat itu kerana jumlah kehadiran ahli hadir tidak mencukupi 50 orang.
“Sebelum ini, ahli UMNO di negeri ini mencecah 320,000 namun setelah proses pemutihan dilaksanakan, hanya yang tinggal 280,000 orang ahli sahaja.
“Saya amat berpuas hati kerana masih ramai lagi dalam kalangan ahli masih setia dan terus menyokong perjuangan UMNO di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Merbok di Kampung Bujang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Merbok, Hapsoh Ahmad.
Menurut Ariffin, kesemua 196 UMNO peringkat bahagian di seluruh negara telah diarahkan untuk mengadakan mesyuarat mulai hari ini sehingga 31 Ogos depan.
“Sehubungan itu, dalam fasa penyatuan ummah antara Pas dan UMNO ketika ini, ahli parti jangan timbulkan sebarang perkara yang boleh membawa kesan buruk kepada parti sebaliknya perlu menyokong setiap saranan pucuk pimpinan parti masing-masing.
“Sekiranya semua pihak sentiasa setia dalam perjuangan masing-masing, UMNO boleh berkuasa semula bersama Pas tanpa perlu terus menjadi pembangkang seperti yang berlaku kini,” katanya.
Dalam pada itu, satu pertandingan nasyid dan burdah anjuran Wanita UMNO Bahagian Merbok diadakan sempena mesyuarat agung tersebut.
Johan nasyid dimenangi Kumpulan Mahabbatain dari Taman Kelisa Ria manakala naib johan dimenangi Kumpulan Al-Zarra Taman Bandar Baru Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan ketiga, Kumpulan Nur Kasih dari Semeling.
Bagi pertandingan burdah pula dimenangi Kumpulan Nurul Najjat dari Taman Bandar Baharu Sungai Lalang, diikuti Kumpulan Mahabbatain dan Kumpulan As-Syifa dari Kampung Pasir. – UTUSAN ONLINE











