Dalam sesuatu siasatan jenayah, antara perkara utama yang perlu dibuat selain mencari bukti dan saksi ialah mencari motif: siapa yang sebenarnya mempunyai motif terbesar atau mendapat keuntungan daripada jenayah tersebut.
Dalam kes tuduhan skandal seks terhadap Menteri PH Azmin Ali, siapakah yang sebenarnya mempunyai motif terbesar untuk menjatuhkan Azmin sekarang?
Adakah ia pembangkang, BN dan UMNO? Atau adakah ia orang dalam PKR sendiri?
Pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PH tentunya cepat menuduh pembangkang, BN atau UMNO seperti yang biasa mereka (PH) lakukan dan mereka cepat terperangkap dalam sindrom penafian sebab tentunya mereka (PH) malu untuk mengaku dan tidak boleh terima yang pemimpin mereka sebenarnya berperangai buruk dan melakukan perkara yang terkutuk.
Namun jika benar BN mempunyai video seks Azmin Ali, buat apa BN mengeluarkannya sekarang di kala Azmin hanya seorang Menteri dan Timbalan dalam partinya?
Bukankah lebih baik untuk BN jika video ini disebarkan selepas Azmin menjadi Perdana Menteri hanya sedikit masa lagi?
Yang pada ketika itu tentunya video tersebut mempunyai lebih nilai politik dan tersebar seantero dunia dan Kerajaan PH akan lebih terkesan dan lebih mudah dijatuhkan kerana ketua kerajaan dan Perdana Menteri terpalit dengan skandal seks, kecurangan dan menipu berkenaannya?
Sebab itu hujah PH yang mengatakan video ini adalah kerja BN adalah suatu hujah yang amat lemah. BN tidaklah sebodoh itu.
Jika dilihat daripada segi motif, pihak yang mempunyai motif terbesar daripada skandal ini adalah sebenarnya daripada dalam PKR sendiri.
Sejak PH menang pilihan raya umum dan lebih-lebih lagi ketika pemilihan PKR baru-baru ini mereka sering bertelagah dan menuduh satu sama lain.
Orang yang rapat dengan Azmin iaitu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang juga bekas ahli majlis tertinggi PKR sendiri pernah menuduh kem Rafizi atau Anwar terlibat dalam rasuah dan politik wang semasa pemilihan PKR baru-baru ini.
Dan khabar angin kencang bertiup bahawa Dr. Mahathir akan melantik Azmin dan bukannya Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menggantinya sedikit masa lagi.
Tentunya ini berita-berita yang menggugat Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokongnya dan memberi motif terbesar untuk mereka menjatuhkan Azmin secepat mungkin.
Jika Azmin menjadi Perdana Menteri, habislah Anwar dan orang-orangnya.
Sebab itu besar kemungkinan skandal ini adalah didalangi oleh orang dalam PKR sendiri untuk menjatuhkan Azmin.
Ini tentunya adalah politik kotor dalaman PH walaupun mereka tidak mengaku dan cuba menuduh orang lain pula seperti biasa.
Kepada orang-orang PKR, hentikanlah politik kotor ini.
Dan kepada pemimpin-pemimpin PH, nasihat saya ialah hentikanlah perbuatan-perbuatan terkutuk.
Tanpa perbuatan terkutuk, tiadalah skandal seks dan kuranglah politik kotor.
ISHAM JALIL
*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.











