GUA MUSANG – Hanya satu mayat Orang Asli suku Batek yang maut akibat penularan penyakit radang paru-paru di Kampung Kuala Koh berjaya dibawa keluar hari ini sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang untuk menjalani proses bedah siasat.
Identiti mayat berkenaan didakwa sebagai Mek Nab Tebu, 63, dibawa keluar kira-kira pukul 4 petang ini. Dia yang ditemukan oleh pasukan pencari pada Rabu lalu, dikatakan meninggal dunia pada 2 Mei lalu.
Susulan perkembangan terbaharu itu, enam daripada 14 mangsa telah berjaya dibawa keluar bagi menjalani proses bedah siasat setakat ini.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, sasaran awal operasi hari ini sepatutnya membawa keluar tiga mayat, namun pasukan penyelamat berdepan kesukaran ke lokasi persemadian dua lagi mangsa ekoran hujan lebat malam tadi yang menyebabkan paras air Sungai Lebir naik dan deras.
Beliau dalam pada itu memberitahu, walaupun operasi hari ini lebih mencabar, pasukan pencari berjaya menemukan dan menanda lokasi empat mayat terakhir Orang Asli suku Batek.
Identiti mayat terbabit didakwa sebagai Puspa Li, 4; Amir Li, setahun; Haikal Rahim, 22, dan Farah Rahim, 20.
“Pasukan pencari menempuh perjalanan kira-kira dua jam menaiki bot dan sejam berjalan kaki untuk ke lokasi dua mayat pertama.
“Untuk ke lokasi dua lagi mayat, mereka menempuh perjalananan dua jam 15 minit menaiki bot dan sejam berjalan kaki,” katanya.
Beliau menambah, jika cuaca baik, pihaknya berharap dapat sekurang-kurangnya membawa empat lagi mayat keluar dalam operasi yang bersambung esok. Baki empat mayat terakhir pula dijangka dibawa keluar lusa. – UTUSAN ONLINE











