Anggota badan beruniform duta IPGM - Utusan Malaysia

Anggota badan beruniform duta IPGM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT – Anggota badan beruniform di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang cemerlang dalam akademik di samping berkeperibadian mulia boleh menjadi barisan hadapan atau duta institusi perguruan itu.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, sifat kepemimpinan dalam kalangan siswa pendidik yang melibatkan diri dalam badan beruniform semasa menuntut di IPG amat sesuai untuk diteladani oleh golongan murid dan pelajar serta masyarakat.

Sehubungan itu katanya, siswa pendidik perlu merancang dengan rapi dan melaksanakan dengan lebih serius aktiviti kokurikulum apabila berada di sekolah supaya objektif melahirkan generasi berpendidikan tinggi dan bersahsiah mulia dapat dicapai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah ini penting supaya segala kekangan pelaksanaan kokurikulum dalam pendidikan sama ada dari segi latihan guru, kemudahan peralatan, infrastruktur sokongan dan kewangan dapat diatasi dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Gerak Kerja Kokurikulum (Kagum) Unit Beruniform di IPG Kampus Sultan Mizan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Sulaiman Wak.

Seramai 300 peserta terdiri daripada siswa pendidik dan 92 orang jurulatih yang mewakili 27 buah IPG seluruh negara menyertai karnival selama tiga hari yang berakhir esok.

Sementara itu, Maszlee berkata, aktiviti perkhemahan untuk guru-guru praperkhidmatan wajar diadakan dan diteruskan bagi mempersiapkan siswa pendidikan ke dunia perguruan sebenar.

Katanya, bakal pendidik perlu memberi penekanan kepada aspek kurikulum selain aktiviti kesukarelawan yang memberi nilai tambah dalam kemenjadian seorang guru sekali gus memperkukuhkan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seiring dengan anjakan ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini