GUA MUSANG – Perjalanan pasukan pencari Op Batek ke lokasi empat mayat terakhir Orang Asli suku Batek yang dipercayai maut akibat radang paru-paru hari ini boleh disifatkan sebagai paling mencabar fizikal dan mental para anggota yang terlibat.
Ini kerana mereka perlu menempuh perjalanan lebih jauh ke dalam hutan, iaitu kira-kira lima jam berjalan kaki termasuk perlu menyusuri Sungai Lebir serta laluan berbukit-bukau dengan komunikasi terhad.
Menurut Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin, pasukan pencari Op Batek mula memasuki kawasan hutan pada pukul 10 pagi ini.
“Buat masa ini, apa sahaja maklumat atau perkembangan terkini mengenai penemuan empat mayat berkenaan hanya akan diketahui selepas operasi tamat petang ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, seorang bayi berusia setahun merupakan salah satu daripada empat mayat terbabit.
Mengulas lanjut, Mohd. Taufik memberitahu, daripada lapan mayat yang telah ditemukan sejak Rabu lalu, tiga mayat telah berjaya dibawa keluar setakat ini.
“Proses bedah siasat sedang dilakukan terhadap ketiga-tiga mayat di Hospital Gua Musang.
“Baki lima lagi mayat akan dibawa keluar secara berperingkat sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang,” katanya.
Krisis kesihatan melanda masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh dikatakan bermula sejak awal bulan lalu dan mengorbankan 14 nyawa.
Walaubagaimanapun, hanya dua kematian mangsa dilaporkan kepada pihak berkuasa manakala 12 lagi mangsa disemadikan mengikut adat suku itu di pelbagai lokasi dalam hutan. – UTUSAN ONLINE











