CALIFORNIA 16 Jun – Pemain tuan rumah, Gary Woodland muncul pendahulu dalam pusingan kedua Kejohanan Golf Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Pantai Pebble manakala rakan senegaranya Tiger Woods dilihat bergelut untuk terus bersaing.
Dalam aksi pusingan kedua, Woodland mencatat enam di bawah par untuk membolehkan dia mengumpul catatan keseluruhan sembilan di bawah par 133 pukulan.
Woodland cemerlang pada aksi pusingan kedua apabila berjaya mengelak daripada melakukan bogey untuk memintas pendahulu sebelum ini Justin Rose.
Berita berkaitan:
Enam birdie berjaya diperoleh Woodland untuk membantunya berada di tangga teratas pada hari ini malah ia lebih baik berbanding aksi pusingan pertama yang menyaksikannya sekadar memperoleh empat birdie.
Sementara itu, tumpuan turut terarah kepada pemenang Master 2019, Woods yang melakukan dua bogey berturut-turut di penghujung saingan pusingan kedua sekali gus ketinggalan tujuh pukulan di belakang pendahulu.
Woods menamatkan aksi pusingan kedua dengan catatan satu di atas par dan sekadar berada di kedudukan ke-32.
“Saya benar-benar kepanasan ketika ini tambahan pula saya memiliki beberapa peluang tapi sukar memanfaatkannya dengan baik.
“Hari ini satu-satunya yang saya mampu lakukan adalah mendapat birdie di lubang 11,” kata Woods. – AGENSI











