KLANG – Lebih 1,000 penduduk sekitar Pekan Meru memeriahkan majlis sambutan Hari Raja Aidilfitri anjuran Masjid Asy-Syarif dekat sini.
Menurut Nazir masjid, Makhruzi Iksan, program bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang dan pihak masjid menyediakan sebanyak 10 buah gerai menghidangkan pelbagai juadah seperti lontong, laksa, sate, roti canai dan kuih-muih.
Beliau berkata, majlis itu yang merupakan acara tahunan masjid, bertujuan merapatkan hubungan silaturahim kalangan jemaah dan ahli-ahli kariah.
“Kita turut menjemput masyarakat bukan Islam untuk hadir dalam usaha merapatkan perpaduan antara kaum,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Makhruzi berkata, majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan antara program di luar masjid yang diatur untuk meraikan penduduk setempat.
Jelasnya, pihak masjid banyak mengatur program ilmu termasuk kegiatan luar seperti sukan untuk manfaat penduduk.
“Sepanjang tahun, banyak program diatur termasuk program bersama mualaf dan lawatan untuk golongan muslimat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











