REMBAU – Datuk Seri Najib Tun Razak menepis dakwaan bahawa UMNO terlibat dalam penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan tuduhan terhadap parti tersebut sebagai mengarut.

“Mengarutlah, itu (video) bukan kerja kita (UMNO),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Kampung Tanjung, Rantau di sini hari ini.
Ditanya sama ada Mohamed Azmin patut bercuti sementara ekoran kes itu, Najib berkata, perkara itu adalah soal dalaman PKR dan kerajaan Pakatan Harapan.
“UMNO ambil sikap tidak terlibat sama sekali. Mereka tahu apa sebenarnya yang terjadi. Yang penting sekali adalah soal kebenaran, moral dan etika,” katanya. – UTUSAN ONLINE











