Azmin akan dipanggil beri keterangan - Utusan Malaysia

Azmin akan dipanggil beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Polis akan memanggil Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk diambil keterangan berhubung kes video lucah yang dikaitkan antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, namun walau bagaimanapun beliau tidak memaklumkan tarikh Timbalan Presiden PKR itu akan dipanggil memberi keterangan.

Katanya, langkah berkenaan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam menjalankan siasatan sesuatu kes bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mengambil tindakan dengan semua pihak dipanggil untuk diambil keterangan mereka. Tindakan kita amat profesional dalam memberi keadilan kepada semua pihak.

“Pada masa ini, kita belum dapat petunjuk siapa benar atau siapa salah dan beri kita waktu untuk melengkapkan siasatan kes ini. Yakinlah yang polis akan jalankan tanggungjawab secara profesional,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Sementara itu, Abdul Hamid memberitahu, Haziq Abdullah yang ditahan semalam akan dibebaskan hari ini selepas pihak polis selesai mengambil keterangan terhadapnya.

Katanya, keterangan individu tersebut amat penting memandangkan dia yang membuat tuduhan dan dakwaan dalam kes berkenaan.

“Haziq (Abdullah) dibebaskan dengan jaminan polis dan dia boleh dipanggil semula untuk diambil keterangan pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid memberitahu, pihaknya masih menyiasat sama ada video yang tular itu tulen atau sebaliknya.

“Semua siasatan ke arah itu, sama ada tulen atau tidak. Kita juga hendak tahu sama ada individu terbabit dipaksa atau ia satu bentuk konspirasi. Semua itu akan melalui proses siasatan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini