Jentera Penerangan UMNO perlu tingkat penggunaan media sosial - Utusan Malaysia

Jentera Penerangan UMNO perlu tingkat penggunaan media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – UMNO khususnya Biro Penerangan parti itu perlu memanfaatkan perkembangan media sosial untuk berperanan sebagai parti yang membela nasib rakyat bagi menangani pelbagai isu ketika ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, parti itu akan ketinggalan sekiranya jentera penerangan tidak mengoptimumkan penggunaan media sosial bagi menyuarakan isu yang dihadapi rakyat.

Menurut beliau, UMNO tidak mahu mengkritik atau menentang kerajaan secara membabi-buta dan semberono tetapi kritikan yang dibuat adalah berasaskan kepada realiti sebenar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang rakyat memerlukan pihak yang membela kepentingan mereka untuk berdepan pelbagai isu kerana kita tidak nampak kerajaan melakukan perancangan tersusun untuk bela mereka terutamanya bagi menangani kos sara hidup.

“Ini peranan kita terhadap apa jua kepincangan dan perkara yang dilihat tidak betul, maka kita akan suarakan berdasarkan fakta dan angka-angka yang tepat kerana UMNO tidak mahu semberono memandangkan kita sentiasa dinilai.

“Media sosial antara platform yang kita akan guna sesuai dengan perkembangannya dan sekiranya jentera penerangan tidak faham perubahan yang berlaku kita akan tertinggal,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan UMNO negeri di sini hari ini.

Menurut Shamsul Anuar, Biro Penerangan UMNO mempunyai struktur yang kukuh sama ada di peringkat pusat dan negeri untuk digerakkan secara keseluruhan supaya dapat menjadi pembela dan jurubicara rakyat.

“Jentera di peringkat pusat akan tumpu kepada isu-isu nasional dan negeri pula akan fokus kepada masalah-masalah di peringkat tempatan supaya kita dapat suarakan semua masalah rakyat tanpa tertinggal.

“Kadang-kadang isu rakyat ini berada di peringkat setempat atau kampung sahaja, tetapi tetap penting untuk disuarakan oleh jentera negeri kerana rakyat mahu parti yang hanya betul-betul berwibawa sahaja membela mereka,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, Biro Penerangan UMNO kini sedang melaksanakan beberapa bengkel di setiap negeri bagi mengukuhkan lagi peranan dan fungsi jentera penerangan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini