KOTA BHARU – Keikhlasan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas ternyata memberikan mesej positif kepada bekas seteru politik partik itu bagi mengukuhkan hubungan yang baru terjalin.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, ternyata suara hati Ahmad Jazlan yang mengatakan bahawa pihaknya sedia menyerahkan kepada Pas untuk menentukan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa sebarang tuntutan membuktikan bahawa UMNO Kelantan benar-benar ikhlas dan tiada agenda lain disebaliknya, disambut baik oleh rakan sejawatnya, Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat dengan jelas apabila Pas negeri menjemput pimpinan UMNO ke majlis rumah terbuka Aidilfitri di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) kelmarin
“Kami mengucapkan terima kasih atas jemputan dan tahniah kepada pimpinan negeri kedua parti utama di Malaysia ini yang berjiwa besar mengenepikan segala sejarah lampau demi suatu matlamat penyatuan ummah yang lebih utama lagi.
“Penyatuan ini bukan lagi omongan kosong dan bukan lagi sekadar cakap-cakap belakang tetapi bakal direalisasi dengan pengorbanan dan persetujuan kedua-dua pihak dalam memperkasakan agenda ummah Melayu dan Islam.
“Ternyata matlamat Ahmad Jazlan hanyalah ingin melihat negara kita kembali kepada pemerintahan unggul Melayu Islam dengan melaksanakan kembali dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara yang semakin teruk ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar menyifatkan Majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di Putik sebagai ‘luar biasa tetapi benar’ kerana buat pertama kali dalam sejarah dalam sejarah Pas menjemput kepimpinan UMNO negeri dan pusat serta kesemuanya hadir memeriahkan sambutan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Noor Hariri berkata, bagi Pemuda UMNO Kelantan, apabila dua pemimpin nombor 1 negeri dari kedua-dua parti telah mengeluarkan kenyataan menghormati dan selari antara satu sama lain, maka semua sayap-sayap dan ahli parti menyokong penuh kerjasama penyatuan ummah ini demi menyelamat kembali Malaysia daripada tangan DAP dan puak liberal.
“Ahmad menyebut dalam ucapan beliau pada majlis tersebut bahawa “Hubungan perpaduan antara Pas dan UMNO sangat luar biasa dan unik berbanding situasi dulu yang sering digelar sebagai ‘musuh tradisi. Persahabatan dan kemesraan dengan UMNO itu membuktikan Islam itu agama perpaduan yang menyatukan semua pihak.
“Sudah tentu pemimpin Pakatan Harapan tidak senang duduk dengan penyatuan ummah Melayu ini kerana mereka tahu ini akan menjadi ‘turning point’ kepada kekuasaan kembali Melayu dan Islam di tanah air tanpa meminggirkan bangsa dan agama lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE











