BATU KAWAN – Kontroversi mengenai cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu di negeri ini perlu dihentikan segera memandangkan laporannya adalah palsu.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, semua pihak khususnya media tidak perlu memberi perhatian atau mensensasikan isu tersebut sekali gus dilihat menjadi alat kepada kepentingan pihak swasta.
“Jangan siarkan berita yang bukan-bukan dan tidak berasas, kerana anda hanya akan menjadi alat untuk kepentingan swasta yang mahu mempromosikan projek mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian kilang Hotayi Electronic (M) Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Menurut beliau, laporan itu adalah sesuatu yang besar apatah lagi melibatkan dakwaan pembinaannya di kawasan tambak laut seluas 5,000 hektar.
Sedangkan, katanya, isu berkaitan tanah adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sebelum ini turut menegaskan langsung tidak mengetahui mengenai cadangan dua pembinaan lapangan terbang baharu tersebut.
Ditanya mengenai dakwaan kertas cadangan berhubung projek itu sudah dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri seperti dilaporkan, Guan Eng juga menegaskan laporan tersebut adalah palsu.
“Tidak ada kertas cadangan (proposal), ini adalah laporan palsu, malah Kerajaan Pusat pun tidak ada pengetahuan langsung mengenai projek ini,” katanya.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan dua syarikat merancang membina lapangan terbang baharu masing-masing dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA), di selatan Seberang Perai di sini.
Menurut laporan itu lagi, salah sebuah syarikat pemaju terbabit sudah membentangkan cadangan berkenaan kepada Pejabat Perdana Menteri pada Januari lalu manakala sebuah lagi dikatakan akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.- UTUSAN ONLINE











