KUALA LUMPUR 14 Jun – Malaysia Airlines Bhd. (MAB) merekodkan peningkatan perolehan sebanyak dua peratus tahun ke tahun bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berikutan peningkatan dalam jumlah tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK) susulan peningkatan lapan peratus dalam kapasiti domestik dan antarabangsa sebanyak lapan peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Izham Ismail berkata, faktor muatan tidak berubah pada kadar 75.2 peratus kerana syarikat penerbangan itu memadankan peningkatan dalam kapasiti dengan permintaan pasaran.
Beliau berkata, MAB menyaksikan peningkatan marginal dalam hasil berikutan penambahan kapasiti dan pertumbuhan positif penumpang sebanyak lima peratus.
“Meskipun terdapat peningkatan dalam prestasi operasi suku pertama berbanding tahun lepas, kami menjangkakan 2019 akan menjadi sangat mencabar.
“Persekitaran persaingan dijangka terus meningkat pada 2019 didorong oleh lebihan kapasiti di rantau ini serta domestik. Ini sebahagian besarnya didorong oleh pasaran riadah yang sensitif terhadap harga yang mana turut memberi impak secara langsung kepada hasil kumpulan.
“Walaupun kami telah melindung nilai terhadap bahan api dan tukaran mata wang asing, kami akan terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan luar seperti perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Izham berkata, tumpuan utama syarikat adalah untuk terus mendorong peningkatan pendapatan melalui penawaran produk dan perkhidmatan yang lebih baik dengan menumpukan kepada nilai penumpang sambil mengoptimumkan kos.
Katanya, suku pertama 2019 turut menyaksikan peningkatan hasil sampingan berikutan inisiatif yang diperkenalkan yang menawarkan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada penumpang.
“Ini, ditambah dengan harga yang kompetitif untuk produk seperti bagasi prabayar dan pemilihan tempat duduk dan produk sampingan lain, ia menyaksikan peningkatan pendapatan sampingan sebanyak 23 peratus tahun ke tahun,” katanya.











